Walau hanya bertempat di Warung Bapakku, Kg. Subang Selangor, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) diiringi oleh isteri, Datin Norlin Shamsul Bahri dan Pegawa Khas Hal Ehwal Muzik Sdr Ahmad Samri Mohamed Akhir telah sudi menerima jemputan IRAMA untuk turun ke majlis santai serahan bantuan Tabung Bob Lokman semalam. Turut hadir adalah master sifu muzik Malaysia, Dato’ M. Nasir yang sama-sama menceriakan malam itu dengan persembahan spontan bersama pengunjung dan pemberi sumbangan.
Majlis tidak rasmi ini dianjurkan oleh IRAMA yang berkolaborasi bersama radio online BapakkuFM yang dikendalikan oleh DJ Isma Halil dan kalangan penggiat seni dan muzik serta rakan industri atas rasa tanggungjawab #kitaJagaKita tatkala musibah yang menimpa sdr Bob Lokman. Kutipan pertama dari rakan-rakan grup whatsapp Forum Muzik telahpun disampaikan pada Bob di kediamannya di Kelantan oleh Pengerusi FINAS Tuan Zakaria Dan Presiden IRAMA, Sdr Ayob selepas beliau selamat menjalani pembedahan.
Turut hadir memberi sokongan dan penghargaan pada malam tersebut adalah jaguh Bina badan negara Sazali Samad dan One Buskers.
Seperti yang dijadualkan, program amal ini akan diteruskan pada 24 December ini akan di mana akan diadakan Majlis ‘Mawlid 4 The Love’ bersama sebuah portal digital IslamicTunes.net.
Pada 26 December pula IRAMA akan berkampung bersama artis-artis anak Johor di Warisan@7 JB beralamat di Jalan Petri, Kg. Tarum, Johor Baru yang ingin bersama membantu Bob Lokman dalam membuat kutipan tabung ini.
Seterusnya program Tabung Bantuan Bob Lokman ini dijangka akan membuat majlis penutup di negeri kelahiran Bob Lokman pada 29 Januari 2021 di DCZ Seaview Kota Bharu bersama artis anak-anak Kelantan di mana ianya merupakan acara usahasama antara IRAMA dan EHFC Eddie Hamid Fans Club.