Walaupun Konsortium IRAMA adalah NGO berasaskan label dan syarikat rakaman yang berkaitan industri muzik, namun menyedari bahawa penggiat seni muzik itu merupakan nadi kepada industri itu sendiri membuatkan IRAMA sejak dari bermulanya PKP Mac lalu telah menggerakkan usaha membuat pungutan derma demi membantu penggiat yang memerlukan bantuan, samada secara bersendiri ataupun bekerjasama dengan beberapa NGO lain.

Antara wakil-wakil dan penerima bantuan Program KKMM Prihatin yang hadir.

Dengan tagline #ArtisBantuArtis, IRAMA telah bekerjasama dengan eWanaTV yang mengendali dan menerbitkan beberapa live dan rakaman persembahan artis-artis yang sudi berkerjasama memberi persembahan percuma demi membantu membuat kutipan untuk disumbangkan kepada beberapa penggiat yang tidak perlu dinyatakan satu persatu.

Justeru itu, IRAMA amat berterimakasih kepada KKMM terutamanya Menterinya YB Dato’ Saifuddin Abdullah yang telah melancarkan “PROGRAM KKMM PRIHATIN” hari ini. IRAMA juga turut berterimakasih kepada Jawatankuasa Kebajikan FINAS, terutamanya Pengerusi Tuan Zakaria yang turut bekerjasama bagi kelancaran program ini.

Usaha ini jelas memperlihatkan Menteri KKMM amat mengambil berat hal-hal penggiat seni muzik yang mengalami kebuntuan dalam meneruskan aktiviti persembahan dan rakaman dalam tempoh PKPB ini.

Idea pengagihan kepada NGO yang terlibat dengan muzik ini adalah terbaik bagi mencapai pengagihan secara menyeluruh dan segenap kategori kegiatan.

KKMM telah memilih 5 NGO yang berkaitan penggiat seni muzik bagi mengagihkan bantuan ini kepada ahli-ahli, iaitu Konsortium IRAMA yang diwakili oleh Presidennya, Sdr. Ayob Abd. Majid, Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia yang diwakili oleh Pengerusinya iaitu Sdr. Bob Sentuhan, Kelab Kami Kreatif yang diwakili oleh Sdr. S. Saladdin Abdullah, Persatuan Pemuzik Jalanan Professional yang diwakili oleh Pengerusinya Mohd. Adzhar Mohd Yusof atau Zaha Spring, dan Persatuan Muzika Malaysia yang diwakili oleh Timbalan Pengerusi iaitu Puan Mac Rahayu.

Sasaran KKMM adalah untuk membantu 50 orang penggiat seni muzik yang mana setiap NGO akan mengagihkan kepada 10 orang ahli masing-masing. Acara penyerahan ini telah dilakukan secara ‘pandu-lalu’ bagi mengikut SOP PKPBP di mana Dato’ Saifuddin sendiri menyerahkan bantuan tersebut kepada wakil-wakil yang disebut di atas.

YB Dato’ juga berharap usaha ini dapat menzahirkan rasa keprihatinan Kerajaan Malaysia kepada penggiat seni muzik di samping pelbagai lagi cara Kementerian beliau untuk meningkatkan pendapatan industri muzik Malaysia serta memastikan agihan industri ini dapat kembali kepada penggiat seni sendiri.

Dato’ Saifuddin juga percaya bahawa jumlah bantuan ini mungkin tidak mencukupi namun berharap agar Program ini dapat menyampaikan mesej bagi menggalakkan lebih ramai penaja (perseorangan dan syarikat) untuk turut serta dengan kerajaan dalam konsep ‘public-private partnership’ (PPP) bagi bersama-sama (menang-menang) demi tanggungjawab sosial membangunkan industri kreatif negara.

Adalah dengan ini IRAMA yang mewakili 4 NGO yang lain merakamkan berbanyak-banyak terima kasih atas bantuan ini yang pastinya amat bermanfaat kepada penggiat seni kerana ia bukan sahaja bertujuan membantu golongan yang memerlukan, malah dilihat sebagai salah satu agenda Kerajaan Malaysia bagi mengiktiraf ‘Penggiat Seni Pemangkin Pembangunan Ekonomi Kreatif’, yang juga merupakan tema rasmi program ini.

Antara usaha IRAMA bagi membantu penggiat seni muzik sejak bermula PKP bulan Mac 2020 lalu menerusi program-program kutipan derma untuk Tabung #ArtisJagaArtis. Antara seleberiti dan personaliti yang turut membantu IRAMA adalah Dato’ Hattan, Dato’ Malek Ridzuan dan Dato’ Nash.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *