Bengkel Intensif MuzikXpress berlansung dengan meriah!
Pada awalnya ramai yang malu-malu, takut dan kurang yakin, namun apabila mula sesi ‘jamming’ santai, ada yang memberanikan diri untuk mencuba menyerlahkan bakat yang ada tersimpan. Itulah yang berlaku pada Bengkel Intensif MuzikXpress yang telah diadakan di Alor Setar, Sg. Petani, Kulim, Baling dan penutup di Pulau Pinang bagi melengkapkan jelajah IRAMA yang melaksanakan bengkel ini yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Pulau Pinang bersama unit Rakan Muda/Rakan Muzik Daerah.
Bengkel yang khusus kepada anak-anak muda dari peminat muzik, pemuzik dan pencipta lagu/lirik dari umur 15 tahun ke 30 tahun ini berjalan dengan baik dan tersusun namun yang pentingnya mereka teruja dengan beberapa ilmu dan info bagaimana menyertai industri muzik secara bijak samada untuk menjadikan kerjaya serius masa depa atau sekadar hobi namun dalam masa yang sama memberikan pendapatan hasil dari menyanyi, membuat lagu dan merakam.
Banyak tips dan panduan yang didedahkan oleh panelis yang telah berpengalaman selama 30 – 40 tahun dalam industri muzik dan masih tetap aktif sampai kini diketuai oleh Man Senoi atau nama sebenar Othman Masri yang membawa topik cara mudah cipta lagu, membuat gubahan muzik dengan minimum chord, asal mengenal alat muzik termasuk vokal, cara membuat rakaman dengan mudah menggunakan software, laptop dan alat-alat home studio.
Pengalaman lebih 40 tahun bergelumang sebagai komposer, penerbit dan penggubah lagu serta pernah menjadi pensyarah muzik dan teknologi audio di beberapa kolej dan universiti seperti Aswara, LimKokWing dan kolej muzik Icon menjadikan Man Senoi berupaya mengenali bakat-bakat anak muda dalam bengkel dan memberikan kaedah-kaedah mudah serta nasihat berkenaan topik.
Haji Rozman Abas, pemilik syarikat rakaman dan pengedaran digital Loonaq Records menyambung topik tentang kenapa dan bagaimana mendaftarkan sesebuah lagu yang telah dirakam bagi mendapatkan kad pengenalan digital atau ID kode bagi memastikan semua Digital Streaming Platform (DSP) di seluruh dunia dapat mengenali siapakah pencipta lagu/lirik, pelaku (penyanyi/pemuzik) dan pemilik rakaman audio dan video sesebuah lagu yang ditonton atau didengar di alam internet. Haji Rozman turut menasihatkan anak-anak muda agar setiap rakaman yang telah siap sebaiknya didaftar dahulu bagi mengelakkan kita memuat-naik rakaman yang dikategorikan sebagai konten percuma dan terdedah kepada pencurian hakmilik.
Turut dikongsi kaedah-kaedah membuat pendaftaran samada secara terus, atau melantik Badan Pengutip Royalti Persembahan Awam, atau melantik pemborong digital (aggregator) bagi memasar atau monetize lagu anda di Spotify dan lain-lain DSP serta pendedahan berkenaan pendapatan pasif dari kutipan royalti pencipta lagu/lirik dari hakmilik rakaman dan dari royalti pelaku rakaman. Pengalaman lebih dari 35 tahun dalam perniagaan dan kini mengurus lebih dari 3000 lagu di semua DSP pelbagai genre termasuk nasyid adalah aset berguna yang dikongsi kepada semua yang berminat terutama anak-anak muda bakat baru dalam program Rakan Muda nafas baharu yang baru-baru dijenamakan semula.
Bro Sheikh Qalam dari Sheikh Qalam Records Sdn Bhd pula mengisi slot bengkel dengan topik bagaimana membina jenama dan membuat promosi di media sosial serta peluang-peluang berkolaborasi penerbitan dengan penyanyi atau artis yang lebih popular. Sheikh Qalam yang juga pencipta lagu dan lirik yang pernah memenangi beberapa anugerah Industri Muzik sebelumnya adalah berpengalaman sebagai pengurus dan repertoire artis di beberapa syarikat rakaman antarabangsa dan juga bersama-sama mempelopori program TV popular suatu ketika dulu iaitu Akademi Fantasia dan Mastro Records yang mengurus semua artis-artis dari Akademi Fantasia.
Ucaptama pengenalan industri muzik dibuat oleh Tuan Ayob Abd Majid yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang promosi, persembahanan dan perhubungan awam.